Friday, September 27, 2013

Demam

Hari ni saya demam. Demam, batuk, selsema dan sakit tekak. Pakej lengkap. Mungkin sebab semalam kena hujan. Jadi seharian ini saya hanya duduk di rumah. Berehat sambil mengadap laptop. Layan facebook sekejap.

Dua hari lepas saya nampak status facebook seorang klien public mutual saya. Anaknya masuk hospital sebab demam panas.

Hari ni saya nampak dia online. Saya pun tegur dia. Tanya macam mana perkembangan anak dia. Masih di hospital atau sudah balik. Alhamdulillah, anaknya sudah balik ke rumah.

Kemudian saya pun beritahu tentang status pelaburannya. Beritahu tentang berita-berita terkini berkaitan public mutual.

Alhamdulillah, beliau sangat berpuas hati dengan pelaburannya. Dan tanpa saya sangka beliau menyatakan hasrat untuk membuat penambahan pelaburan lagi. Tapi beliau tak pasti lagi bila nak buat penambahan.

Setelah beberapa minit kami chatting saya katakan kepada beliau supaya beliau juga perlu berehat secukupnya. Kalau tak nanti beliau pun ikut tumbang juga. Saya juga minta agar sampaikan salam saya pada keluarganya. Kemudian beliau offline.

Selang 15 minit beliau online lagi. Dan beliau memberitahu bahawa beliau baru sahaja melakukan penambahan di public mutual secara online. Dan jumlahnya, memang saya tak sangka. Syukur sangat pada Allah. Alhamdulillah....Murah rezeki beliau. Alhamdulillah...rezeki untuk saya juga.

Inilah hikmah di sebalik demam. Demam demam pun boleh close sale.

Kesimpulannya...memang seronok sangat bekerja dari rumah.


Monday, September 23, 2013

Puding Oreo Lapis Milo



Dah dua hari ini cuaca sangat panas. Tekak terasa nak minum air batu je. Tapi tak boleh ikutkan sangat tekak tu. Nanti bangun pagi adalah yang sakit lutut. Maklumlah umur dah semakin meningkat.

Panas-panas ni mesti sedap makan puding. Dalam kereta terbayang sedapnya kalau dapat makan puding custard yang ada kuah. Kemudian terbayang pula puding oreo lapis milo yang semalam saya lihat di blog Sinar Kehidupanku. 


yang ni saje taburkan milo. sedap jugak. mmm. yummy.

Tak boleh jadi. Nak buat jugak. Pergi kedai beli bahan-bahan dan terus buat. Senang je nak buat puding ni. Cuma perlukan sedikit kesabaran sahaja. Resepi ini saya ambil dari blog kak Yatie Memories (Sinar Kehidupanku). Terima kasih di ucapkan kepada kak Yati dan juga pencipta asal resepi ini kerana telah berkongsi resepi puding yang sangat yummy.

Tapi saya buat dua adunan. Punyalah tamak kan. Sebab tu puding jadi tebal. Sepatutnya kalau buat dua adunan kena letak dalam loyang yang besar. supaya tak tebal sangat. Kalau tengok dalam blog kak Yatie, cantik je.

Jom tengok resepi.

Bahan-bahan : 

1 bungkus @ 10g Jelly Powder - Serbuk Agar-Agar
750ml Air
160g Gula - Mas ikut Ayu 140g gula
1 tin @ 400g Susu Cair
3/4 cup Serbuk Milo
1 bungkus (137g) Oreo Cookies - patah2kan tapi biarkan sandwich 2 lapis


Cara :
1. Masak serbuk agar2 dan air sehingga larut.
Masukkan gula dan masak sehingga gula larut.
Masukkan susu, kacau sebati sehingga mendidih.
2. Asingkan 2 cwn ke dlm periuk yg lain dan campurkan milo sehingga sebati.
3. Tuangkan 1 cwn campuran milo ke dlm acuan.
Panaskan campuran milo yg separuh lagi dgn api paling kecil supaya tidak membeku.
Apabila permukaan nya mengeras sedikit, tuangkan kesemua adunan putih tadi.
Taburkan biskut oreo.
Apabila permukaan nya mengeras sedikit, tuangkan baki adunan milo tadi.
4. Biarkan membeku di suhu bilik sebelum masukkan ke dlm petisejuk.

TIPS UNTUK MELAPIS:
  • Jangan tunggu sehingga lapisan membeku sepenuh nya sbb takut lapisan tidak melekat.
    Jika membeku semua, guris2kan permukaan dgn garfu sebelum tuangkan lapisan seterus nya.
  • Pastikan adunan masih panas apabila menuang ke atas lapisan sebelum nya supaya ia melekat dgn baik.


Sunday, September 22, 2013

Kalau Lah Boleh Tengok Masa Depan.

Siang tadi tengok cerita hindustan di NTV7. Cerita Krish. Cuti sekolah ni, layankan anak-anak tengok tv je.

Krish adalah sambungan dari filem Koi Mil Gaya.

Kisah seorang anak lelaki down sindrom bernama Rohit yang mendapat  kuasa luar biasa dari alien. Best tau cerita ni.

Krish pula mengisahkan Krishna anak kepada Rohit menuntut bela atas kematian ayah dan ibunya. Yang sebenarnya ayahnya belum meninggal lagi.

Dalam cerita Krish ni, watak jahat nak buat satu alat yang dapat melihat masa depan. Kononnya alat tu nanti sangat berguna untuk manusia. Dengan adanya alat tu jika akan terjadi gempa atau bencana, manusia boleh bersiap sedia. 

Tapi si watak jahat ni dah salah gunakan kuasa. Dia nak jadi yang paling berkuasa di dunia. Dengan kata lain, nak jadi Tuhan.

Tapi akhirnya, dengan alat tu jugak lah dia dapat melihat bila ajalnya datang. Dan orang yang akan membunuhnya adalah Krish.

Kalau nak tau lebih lanjut sila tengok filem tu ye. 

Yang kelakarnya, lepas tengok cerita tu Boboy terus berangan.

Dia cakap bestnya kalau kita boleh tengok masa depan. Kalau boleh tengok masa depan, Boboy nak tengok besok besar Boboy jadi apa. Boboy kawin dengan siapa. Rumah Boboy besar tak. 

Adoi, berangan bukan main. Siap berangan kawin dengan siapa lagi. Ini semua poyooooo. hahahaha....

Itulah anak-anak. Sebab itu lah kita kena temankan anak-anak tengok TV. Supaya mereka tak terus menerima bulat-bulat apa yang ada dalam cerita.

Saturday, September 21, 2013

Sehebat Apa Pun Kita, Kita Tetap Masih Perlukan Bantuan Orang Lain

Malam tadi tengok dokumentasi filem titanic di TV2. Word Of Titanic. Ianya adalah sebuah dokumentasi filem titanic hitam putih. Saya tengok pun dah nak habis. 

Mangsa  kejadian yang masih hidup menceritakan bagaimana sebenarnya kejadian itu berlaku. Bila tengok di internet, ada banyak versi tentang tenggelamnya kapal titanic. Kita memang tak tau hal sebenarnya. Hanya Allah sahaja yang tau.

Tapi saya lebih tertarik dengan dakwaan yang mengatakan "kapal titanic tenggelam kerana kesombongannya". Ramai orang mengatakan Titanic adalah filem sejarah sepanjang zaman.

Saya menonton filem titanic pada tahun 1997. Waktu itu saya berumur 19 tahun. Masih muda remaja. Kebanyakan kawan-kawan sudah menonton filem itu. Mereka asyik bercerita tentang kehebatan filem itu. Saya seorang yang tidak suka pergi ke tempat orang ramai. Jadi, memang tak kesah kalau tak pergi tengok pun.

Tapi bila kawan-kawan asyik bercerita cinta sejati antara Rose dan Jack, saya tak boleh tahan. Akhirnya pergi tengok juga.

Menonton filem di pawagam bersendirian pada waktu hari bekerja. Disebabkan hari bekerja, tak penuhlah pawagam. Jadi, tanpa segan silu banjirlah kelopak mata saya. Nasib lah tengok sendiri. Kalau dengan kawan-kawan mesti malu. 

Sebagai seorang remaja, saya larut dalam kesedihan akhir cerita yang menyaksikan Jack mati meninggalkan kekasihnya Rose. Bukan sedih sebab ramai yang terkorban dalam tragedi tu tapi sedih sebab Jack mati meninggalkan Rose. Teruk betul perangai kan. Maklumlah.....alam remaja.

Alamak, panjangnya intro. Dah melalut dah ni.

Oke....berbalik semula dengan tajuk di atas. Sehebat apapun kita, kita tetap masih perlukan bantuan orang lain.

Kapal titanic di ibaratkan sebuah kapal mewah yang sangat hebat yang tidak mungkin akan tenggelam. Itulah ucapan sombong orang-orang yang membuat kapal titanic.

Dan mungkin juga kerana ucapan sombong itulah Allah menenggelamkan titanic.

Ketika adegan awak kapal menurunkan bot-bot penyelamat yang kecil, hanya wanita dan anak kecil sahaja yang boleh naik. Sehinggakan ada seorang bangsawan yang sanggup membayar rasuah anak kapal berapa pun asalkan dia boleh naik bot penyelamat. Tapi pada ketika itu, wang bukanlah segalanya. Wang sudah tidak ada gunanya.

Dan ketika bot penyelamat sudah habis di turunkan, tapi masih ada ramai lagi orang yang berada di dalam titanic. Ketika itu mereka yang berada di dalam kapal mewah yang hampir tenggelam menjerit meminta tolong kepada orang yang berada di dalam bot kecil.

Ye, bot kecil lah yang menjadi penyelamat.

Disinilah saya melihat bahawa sehebat apa pun kita, kita tetap memerlukan orang lain untuk menolong kita.

Dalam kehidupan seharian mungkin kita pernah bertemu dengan orang "kurang kaya" yang sombong. Orang yang merasa dirinya hebat. Hingga kan mellihat orang lain yang kurang berjaya seperti orang yang tak nak berusaha dan tak nak merubah nasib.

Tetapi ketika susah, orang yang kurang berjaya itulah tempat dia meminta pertolongan.

Mungkin orang itu sudah berusaha tapi belum berjaya sebab Allah belum mengizinkan. 

Mungkin Allah menjadikan orang itu seperti perahu-perahu kecil yang menolong kapal besar yang hampir karam.

Sesungguhnya perancangan Allah sangatlah indah. Allah menjadikan sesuatu memang ada sebabnya.

Kesimpulannya, kita tak boleh jadi orang yang sombong.

Friday, September 20, 2013

Bukan Janji Tapi Pasti

Saya suka dengar radio Hot FM. Kalau pagi memang suka sangat dengar suara FBI, Fafau dan Fifi. Saya juga suka dengar panggilan hangit dan lagu hangit.

Selain suka mendengar lagu saya juga suka dengar iklan ataupun pesanan-pesanan dari artis-artis popular.

Salah satu yang saya selalu dengar adalah pesanan dari David Teo. Penerbit filem dan pengarah MIG.

Bila di tanya oleh Sharifah Aleeya tentang apa resepi kejayaan beliau, beliau menjawab "bukan janji tetapi pasti". Berkali-kali di tanya Syarifah Aleeya, tetap itu jawabannya.

Dalam sangat maknanya.

Beliau berkata, kejayaan bukanlah sesuatu yang pasti. Ianya Tuhan yang tentukan. Tapi kita kena yakin dengan diri kita dan jangan sia-siakan kepercayaan yang orang bagi pada kita. Pasti kita akan berjaya. 

David Teo seorang yang bukan muslim pun percaya bahwa kejayaan kita memang di tentukan oleh Allah. Sebagai manusia kita tidak dapat memastikan yang kita akan berjaya. Semuanya kembali kepada Allah. Bila Allah menghendakinya maka pasti akan terjadi. 

Tetapi manusia di haruskan berusaha. Kemudian berdoa. Dan terakhir bertawakkal. Kita buat kerja kita, biar Allah buat kerja Allah. Allah tidak akan menzalimi hambanya.

Allah pasti akan memberikan ganjaran atau balasan pada hambanya yang rajin berusaha. Janji Allah adalah pasti.

Jadi, jika kita sudah berusaha tetapi masih belum berjaya, kita haruslah bersabar. Mungkin Allah sedang menyiapkan sesuatu yang sangat indah untuk kita yang tidak pernah kita sangka. Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk hambanya.


Thursday, September 19, 2013

Berserah

Semalam saya ada temujanji dengan seorang prospek. Temujanji di buat sehari sebelumnya. Dalam telefon, kami janji untuk jumpa pukul dua petang.

Pagi pukul 10  saya telefon untuk pastikan sekali lagi bahawa kami akan bertemu pada pukul dua petang. Waktu saya telefon, dia kata tengah ada banyak kerja. Nanti telefon lagi.

Memandangkan dia sibuk, saya pun hantar SMS. Saya tanya nak jumpa di mana. Sebab masa buat temujanji dia kata di mana-mana pun boleh.

Dia tidak terus membalas SMS saya. Mungkin sibuk kerja. Selepas dua jam dia membalas SMS meminta maaf lambat balas sebab banyak kerja. Dan memberitahu temujanji di tunda pukul tiga petang.

Pukul 2.45 petang saya hantar SMS, adakah jadi berjumpa pukul tiga. Dia balas SMS dan memberitahu, jadi jumpa tapi lambat sikit. Mungkin dalam pukul 3.30.

Setelah beberapa kali "delay", akhirnya saya memujuk hati. Ya Allah, jika ini memang rezeki ku. Mudahkanlah urusanku. Berilah kemudahan dari mencari parking kereta (nak parking depan pintu masuk), presentation dan close sale. Saya pasrah dan serahkan 100% pada Allah. 

Tidak lama selepas itu, saya telefon prospek ni semula. Alhamdulillah dia selesai urusan dan akan berjumpa saya. Kami sepakat untuk berjumpa di Plaza Kotaraya.

Saya sudah membayangkan di Plaza Kotaraya memang susah nak parking kereta di bahagian depan pintu masuk. Nak masuk ke dalam tempat parking, malas pula. Saya berdoa lagi pada Allah.

Alhamdulillah, Allah maha mendengar.

Saya parking kereta di depan pintu masuk. Presentation sekejap dan close sale. Puji syukur pada Allah. Di mudahkan dari urusan parking kereta, presentation dan close.

Rasa bersyukur sangat. Kesimpulannya, bila kita dah cuba dan berusaha tapi belum dapat hasil, jalan terakhir adalah serahkan pada Allah.

Allah lebih mengetahui yang terbaik untuk kita. Terima kasih Allah. Sayang Allah. :)






Wednesday, September 18, 2013

Berbuat Baik Dan Mendoakan Ibu Bapa



sumber gambar dari google


Antara amalan yang boleh membuatkan Allah membuka pintu rezeki kita adalah berbuat baik pada orang tua dan sentiasa mendoakan mereka.

Beruntunglah kepada siapa yang masih mempunyai ibu bapa lagi. Tidak perlu bersusah payah. Hanya berbuat baik dan mendoakan mereka setiap hari. Insya Allah, Allah akan memberkati hidup kita dan melimpahkan rahmat dan nikmatnya pada kita.

Kadangkala, di tengah kesibukan mengejar dunia kita mungkin terlupa untuk mendoakan mereka. Telefon mereka untuk bertanya khabar, sudah cukup membuat sejuk hati ibu.



sumber gambar dari google

Setiap ibu bapa pasti menginginkan yang terbaik untuk anak-anaknya. Redho Allah bergantung pada redho ibu bapa.

Jom kita sama-sama sentiasa mendoakan ibu bapa kita.




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...