Wednesday, September 11, 2013

Rupanya Memang Ada Ibu Yang Baik

Hari ini anak-anak cuti disebabkan murid darjah 6 sedang menduduki peperiksaaan UPSR. Pasti berdebar-debar perasaan ibu yang mempunyai anak yang sedang periksa.

Dua tahun lepas saya sudah mengalami saat-saat seperti ini. Memang mendebarkan. Tapi Allah juga menguji saya ketika itu. Ketika anak sulung saya menghadapi peperiksaan, saya di rumah menahan kesakitan.

Saya mengalami sakit pinggang. Hinggakan nak bangun untuk solat pun sakit. Saya hanya dapat mendoakan dari rumah semoga anak saya mudah menjawab soalan peperiksaan dan seterusnya mendapat keputusan yang cemerlang.

Alhamdulillah........walaupun tidak terlalu cemerlang tetapi keputusan UPSR yang sebenar lebih baik dari keputusan peperiksaan percubaan . Sewaktu percubaan 1A 4B. Dan peperiksaan sebenar 3A 2B. Syukur Alhamdulillah. Sekarang anak sulung saya belajar di Sekolah Menengah Arab An-Nur Benut, Pontian Johor.

Dalam cuti sempena UPSR ini, anak kedua dan ketiga duduk di rumah sahaja. Ada juga saya bawa jalan-jalan untuk menghilangkan kebosanan setelah bermain PS2.

Semalam sewaktu dalam perjalanan ke Kipmart untuk membeli lauk, anak kedua saya Sarah bercerita satu hal yang agak kelakar dan sedikit menyentuh hati. 

Dalam kereta dia bercerita. Dia kata "Rupanya memang ada ibu yang baik. Ibu yang sanggup jaga anak masa sakit dan tak tidur. Adik ingatkan tu semua cerita je. Rupanya memang betul-betul ada. Masa adik sakit dulu, ibu jaga adik sampai ibu tak tidur malam "

Kelakar sangat dengar Sarah cakap macam ni. Lepas tu Sarah ada cakap lagi. "Ibu, dulu-dulu kan......adik ingat kubur ada di langit. Allah ada di langit, malaikat ada di langit, syurga pun ada di langit".

Comelnya ayat tu. Ayat anak-anak kecil yang masih polos.

Selama ini dia berfikir ibu yang baik yang jaga anak sakit sampai tak tidur malam hanya ada dalam TV sahaja. Dia fikir hanya cerita sahaja.

Bila dia dah mengalami sendiri baru dia percaya bahawa ibu yang baik itu benar-benar ada dan memang wujud.

Semoga anak-anak ibu menjadi anak yang soleh dan solehah. Amin.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...