Thursday, September 12, 2013

Elak ditipu tukar mata wang

sumber : harian metro online

Salah satu masalah yang timbul ketika mahu melancong ke luar negara adalah mengenai pertukaran mata wang asing.
Lebih baik membuat pertukaran di dalam ­negara, bank, lapangan terbang atau di negara yang dituju? 
Lebih baik ini bermaksud yang mana lebih me­nguntungkan, mudah dan paling penting selamat. 

Bagi yang sudah biasa membuat pertukaran mata wang asing, ia bukan satu masalah besar dan sudah tahu mana yang lebih baik.
Sesetengah tempat ­pertukaran mata wang asing tidak sama kadarnya ­dengan tempat yang lain.

Contohnya jika kita membuat pertukaran di kaunter menukar mata wang asing berbanding di bank atau lapangan terbang. 

Kebiasaannya di lapa­ngan terbang, anda akan mendapat kurang daripada yang ditukar di tempat lain, begitu juga dengan di bank. 

Jika membuat pertukaran di luar negara pula, ada negara yang tidak menerima Ringgit Malaysia dan sebagainya. 

Jika adapun hanya di sesetengah negara sahaja dan keadaan ini sudah pasti menyusahkan terutama jika anda sudah kehabisan wang tunai ketika melancong. 

Justeru, tip melancong kali ini menyenaraikan ­beberapa perkara yang ­perlu diberi perhatian ­ketika mahu membuat ­pertukaran mata wang asing. 


1. Lihat nilai mata wang ­negara yang dituju sebelum berangkat. Cara mudah adalah melalui ­Internet. 

Anda juga boleh bertanyakan kepada agensi pelancongan atau tempat penukaran mata wang asing yang terdekat. 

Maklumat nilai tukaran mata wang asing negara yang dituju adalah penting supaya anda tidak tertipu atau rugi. 


2. Biasanya nilai tukaran mata wang asing di lapangan terbang adalah lebih rendah atau dengan kata lain harganya lebih mahal berbanding di luar lapa­ngan 
terbang.
 

Keadaan juga sama jika di hotel yang akan memberi harga lebih mahal. 

Oleh itu, cuba sedaya upaya tidak menukar duit di lapangan terbang atau hotel. Jika terpaksa, ­tukarlah hanya jumlah yang diperlukan untuk membayar teksi atau ­kereta sewa untuk ke hotel penginapan dari lapangan terbang atau untuk sesuatu keperluan mustahak ­sahaja. 


3. Sesetengah tempat ­menukar wang ada yang mengambil komisyen dan ada yang tidak.

Oleh itu, jangan tertipu dengan nilai ­pertukaran yang tinggi berbanding di tempat lain, padahal ­mengenakan komisyen. 

Di akhir urus niaga, ­harganya sama saja bahkan mungkin lebih ­mahal. 

Buat pengiraan sebaik mungkin agar tidak rugi ­sebaliknya menguntung­kan anda. 

Jika ada pilihan, carilah yang tidak ­mengenakan komisyen. 


4. Carilah tempat ­menukar mata wang asing yang boleh dipercayai. ini penting untuk menghindari penipuan. 

Untuk mendapat­kan tempat yang boleh dipercayai, minta petunjuk atau saranan daripada ­kakitangan hotel tempat penukaran mata wang asing yang dipercayai di lokasi percutian anda. 

Kenal pasti tempat menukar wang itu berada di wilayah atau kawasan yang selamat. 

Ini kerana, di beberapa negara, terdapat ­tempat menukar mata wang asing yang sering menipu. Mereka akan membayar wang yang ditukar kurang daripada jumlah yang sepatutnya diterima. 

Justeru berwaspadalah. Pilihan di tangan anda. Selamat bercuti.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...