Tuesday, September 10, 2013

Ketepikan Keperluan Bergaya

sumber : harian metro online

TATKALA mengemas barang yang akan dibawa ketika bercuti ada kalanya kita kebingungan dan tertekan.
Masalahnya, kita meng­anggap semua barang penting dan harus dibawa bersama walaupun hakikatnya ada sesetengahnya tidak perlu. 
Prinsip utama mengemas isi beg untuk bercuti ialah membawa barangan yang amat diperlukan. Keperluan untuk bergaya boleh me­nyusul kemudian. 

Pertama
Keperluan utama selama perjalanan bercuti ialah dokumen dan pakaian. Dokumen paling penting dibawa dan tidak boleh tertinggal adalah pasport, visa dan tiket.
Justeru, simpan dokumen ini di tempat yang selamat. Selamat yang dimaksudkan bukan saja selamat supaya tidak hilang atau ketinggalan di sesuatu tempat tetapi dari kerosakan seperti air, tertumpah bahan berwarna seperti makan dan minuman.

Ketiga-tiga dokumen penting ini perlu disimpan dalam dompet atau beg kecil khas. Ja­ngan malas membuat salinan dokumen ini untuk kegunaan ketika kejadian yang tidak diingini berlaku. 

Dokumen tambahan lain termasuklah kad pengenalan, kad kredit, kad ATM dan kad nama. 

Kedua
Perkara kedua yang paling banyak memenuhi isi beg ialah pakaian. Tip utama memilih pakaian untuk bercuti adalah membawa pakaian yang baik, mudah dilipat dan mudah kering. 

Paling sesuai adalah bahan dari kapas. Untuk seluar atau skirt, elak bahan jeans. Pilih dari bahan kapas atau yang mudah dilentur. Selain ringan, bahan kapas ini mudah dimasuk ke beg kerana ia senang di gulung. 

Kebiasaan­nya, ramai di kalangan kita yang membawa baju terlalu banyak sehingga ada antaranya tidak digunakan. 

Sebenarnya, jumlah pakaian yang akan dibawa boleh dikurangkan dengan mempertimbangkan untuk mencuci baju ketika di dalam perjalanan. 

Namun, bagi menjimatkan bajet, cuci baju di dobi yang mengenakan bayaran berdasarkan berat pakaian. Elak mencuci baju di hotel. Mencuci pakaian di dobi yang mengenakan harga berat pakaian tidak terlalu mahal berbanding di hotel. 

Ketiga 
Keperluan selanjutnya yang wajib dibawa ketika melancong adalah alatan mandi. Bawa seperlunya dengan memindahkan peralatan mandi ke tempat yang lebih kecil seperti shampu, sabun cair dan losyen atau untuk lebih mudah, beli saja di destinasi yang anda tuju. 

Keempat
Dengan me­ngemas segala keperluan utama secara cermat, anda masih mempunyai ruang pada beg untuk keperluan tambahan lain. 

Keperluan tambahan adalah yang berkait de­ngan hobi untuk menjadikan percutian anda lebih me­nyeronokkan. 

Seperti contoh, kamera bagi anda yang suka fotografi. Bila ingin ke pantai, bawalah baju berenang yang bersesuaian dan kelengkapan lainnya. 

Kelima
Perkara penting yang harus anda ambil berat saat mengemas pakaian atau barangan yang mahu dibawa bersama ketika bercuti adalah menghindari gajet atau barang elektronik yang berlebihan. 

Secara tidak langsung, anda boleh bercuti dengan aman dan keluar daripada rutin harian termasuk rutin gajet.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...