Wednesday, September 11, 2013

Tag nama pada beg

sumber : harian metro online


Keterujaan balik ke kampung atau percutian panjang di luar negara sempena cuti perayaan tidak terungkap dengan kata-kata.
Segala persiapan pastinya sudah siap dan beg penuh dengan pakaian juga sudah tersedia.
Kesesakan di lapangan terbang, stesen bas atau stesen kereta api dengan orang yang ramai me­ngundang kepada pelbagai hal terutama kehilangan beg.

Kehilangan beg ketika melancong memang sangat menyakitkan hati dan jiwa tidak tenteram boleh mengundang kemarahan.
Tidak mahu perkara ini berlaku kepada anda?. Tip melancong minggu ini mungkin dapat membantu bagi memastikan beg anda tidak hilang.


  • Gantung tag nama, alamat dan nombor telefon pada beg dan jangan lupa kunci. Anda juga boleh meletakkan mangga atau ‘padlock’ supaya beg tidak dibuka orang yang tidak bertanggung­jawab.
  • Daftar masuk penerba­ngan seawal mungkin me­ngelakkan anda kehilangan beg. Ini kerana, dengan mendaftar masuk awal, anda punya cukup masa untuk memasukkan barang ke dalam pesawat.

    Selain itu, beg anda juga tidak akan bercampur de­ngan beg dalam penerba­ngan lain jika berlaku kekalutan semasa proses daftar masuk.
  • Ikat reben atau pelekat dengan warna yang cerah pada beg anda untuk memudahkan anda mengenali beg terutama di lokasi tuntutan bagasi.

    Secara tidak langsung, anda tidak keliru mencari beg anda terutama apabila sesetengah penumpang lain mempunyai rekaan dan warna serta saiz yang sama dengan beg anda.
  • Pastikan pembantu penerbangan meletakkan tag destinasi yang betul pada beg anda. Mungkin nampak terlalu cerewet tetapi ia untuk kebaikan anda juga.
  • Kekerapan anda melancong membuatkan bagasi anda dipenuhi pelbagai pelekat. Justeru, bagi mengelak kehilangan beg, buang segala pelekat atau tag lama yang ada.

    Tindakan tidak membuang pelekat atau tag lama itu mengundang kekeliruan, sekali gus menjadi salah satu faktor beg anda hilang.
  • Jika anda mempunyai jadual penerbangan yang bersambung, maklumkan kepada pembantu penerbangan anda akan me­ngambil beg anda di desti­nasi terakhir.

    Pastikan juga salinan kod pelekat beg anda sentiasa bersama dan tidak dibuang walaupun anda sudah berada di dalam pesawat. Ini kerana, jika berlaku kehilangan, nombor rujukan yang dilekat­kan pada beg anda sa­ngat diperlukan.
  • Ambil beg anda sebaik tiba ke destinasi dengan kadar segera. Jangan tinggalkan beg di atas ‘carousel’ sementara anda membuat panggilan telefon atau berjalan-jalan di lapangan terbang.

    Pastikan juga anda mengingati bilangan beg yang dibawa terutama jika anda melancong bersama keluarga dan anak-anak.
  • Allah Mengikut Sangkaan Hambanya

    Kita selalu mendengar law of attraction atau dengan kata lain hukum daya tarikan. Saya tau hal ni pun, setelah menonton video the secret.

    Sebenarnya dalam islam pun benda ni memang ada. 

    Aku bersama sangkaan hambaku padaku, jika sangkaannya baik maka baiklah baginya, dan jika sangkaannya buruk maka buruklah baginya. (Hadis Qudsi)

    Apapun yang kita sangka dan kita yakini, Allah pasti akan mengabulkan. Jika kita yakin kita akan berjaya, maka Insya Allah kita akan berjaya. Jika kita yakin kita akan gagal, maka Insya Allah kita pun akan gagal.

    Diri kita adalah apa yang kita fikirkan. Apa yang kita fikir, itulah yang akan kita dapat. Apa yang kita angankan itulah yang akan menjadi kenyataan.

    Itulah hukum daya tarikan. Fikiran kita menarik apa yang ada di sekeliling kita. Fikiran kita umpama magnet.

    Tapi sudah semestinya harus di sertai dengan usaha. Jika hanya berfikir dan berangan tanpa usaha, macam mana nak jadi kenyataan.



    Untuk itu kita haruslah sentiasa berfikir dan bersangka baik. Kemudian kita meminta pada Allah dengan sepenuh keyakinan dan kepercayaan bahawa Allah akan mengabulkan permintaan kita.

    Sesungguhnya Allah maha mendengar doa setiap hambanya.



    Tuesday, September 10, 2013

    Resepi Donat Mudah Dan Cepat

    Dah lama saya tak buat donat. Seingat saya, terakhir saya buat donat masa harga mauripan masih 60 sen. Sekarang harga mauripan dah 80 sen. Berapa tahun agaknya ye.

    Semalam dalam keadaan cuaca yang sejuk dan hujan mulut teringin sangat nak makan donat panas-panas. Tiba-tiba terbayang donat Big Apple yang comel-comel dan bermacam-macam warna. Oh tidaaaak.......

    Nak keluar pergi jusco pun malas dalam keadaan hujan. Selongkar barang-barang di dapur, tepung ada, margerin ada, susu ada. Tapi ada satu bahan yang tak ada. Barang yang paling penting pulak tu. Mauripan tak ada. Aduh.....janganlah tak jadi pulak. Teringin sangat nak makan donat. Dah macam orang mengidam.

    Mujurlah rumah berdekatan dengan kedai. Tak sampai lima minit sampai kedai dan berjaya membeli mauripan. Alhamdulillah.......

    Selepas membeli mauripan, maka bermulalah proses menguli tepung. Setelah selesai menguli dan mencetak donat tinggallah masa untuk menanti donat kembang dan seterusnya di goreng.

    Malangnya setelah menunggu satu jam lebih donat masih tak mengembang juga. Hati dah mula cuak. Apakah ini petanda awal donat tak jadi. Apakah ada bahan yang terkurang.

    Boboy pun dah cakap " agaknya donat ni merajuk lah ibu. kan dah lama ibu tak buat donat"



    donat yang dah mula mengembang

    Tapi saya tetap memujuk hati agar menunggu lagi hingga donat kembang. Alhamdulillah selepas dua jam, donat pun kembang dan sedia untuk di goreng. Seingat saya dulu kalau buat donat taklah menunggu hingga dua jam untuk dia kembang. Tapi kenapa hari ni lama sangat.

    Setelah puas memikirkannya, akhirnya saya tau punca donat ni malu untuk membesarkan badannya. Rupanya disebabkan cuaca yang sejuk donat ni tak nak kembang dengan cepat. 

    Percubaan pertama tidak berhasil dengan cemerlang. Maka hari ini, saya pun menggigihkan diri untuk buat donat sekali lagi. Setelah saya dapat mengenal pasti punca kegagalan donat semalam mengembang maka hari ini, saya telah mendapat idea baru. Idea supaya donat cepat kembang dan cepat untuk di goreng.

    Caranya adalah, setelah donat selesai di uli dan di cetak letak loyang yang berisi donat di atas periuk yang berisi air panas. Wap air panas akan membuat donat cepat kembang. Jadi, kalau hujan dan cuaca sejuk teringin nak buat donat.......kena rebus air dalam periuk dulu ye.

    Percubaan kedua berhasil dengan jayanya. Sarah bawa bekal ke sekolah. Kawan-kawan berebut makan. Sedap katanya.


    donat gemuk sedang di goreng

    Donut yang dah siap tak sempat nak snap. Dah melalut pulak saya ni. Jom tengok resepi yang mudah dan cepat ni.

    700 gram tepung gandum
    5 sudu besar gula pasir
    1 paket mauripan
    4 sudu besar margerin
    3 sudu besar susu pekat manis
    air secukupnya

    Caranya......

    Satu kan semua bahan. Kemudian masukkan air sedikit demi sedikit dan uli hingga sebati. Uli hingga doh mengembang sedikit,

    Kemudian cetak donat mengikut bentuk yang du ingini. Biarkan setengah jam atau hingga donat kembang. Setelah donat sedikit kembang, bolehlah di goreng. 

    Setelah sejuk boleh di gaul dengan gula castor atau di hias ikut suka hati.


    Kerajaan Akui Kelemahan, Bukan Niat Bebankan Guru

    Sumber artikel darihttp://www.sinarharian.com.my/kerajaan-akui-kelemahan-bukan-niat-bebankan-guru-1.200617

    Sistem pembelajaran di negara kita sudah berubah sejak tahun 2011. Sistem pembelajaran yang tidak ada peperiksaan.

    Secara peribadi, saya tidak menyokong sisitem ini. Entahlah......mungkin memang sisitem ini yang kurang bagus atau kita yang sudah terbiasa dengan sistem lama yang menilai seorang murid berdasarkan peperiksaan.

    Pada pendapat saya, sistem ini menjadikan murid kurang pandai dan agak malas belajar. Kerana belajar rajin-rajin pun bukan boleh dapat nombor satu. Itu adalah ayat anak perempuan saya yang sekarang berada di darjah 3. 

    Setiap kali tukar menteri pelajaran, ada sahaja peraturan baru. Dulu subjek matematik dan sains di ajar dalam bahasa inggeris. Bila tukar menteri, tukar pula. Kembali di ajar menggunakan bahasa malaysia. Aduh......kasihan anak-anak.

    Semoga para menteri dapat memikirkan jalan yang terbaik untuk pendidikan di negara kita.

    SHAH ALAM – Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengakui wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah pada 2011 telah membebankan golongan pendidik selain daripada tugas mengajar di bilih darjah. 

    Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pelaksanaan PBS itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya guru tidak tertekan dengan tambahan tugas terbabit menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan kerjaya terbabit. 

    "Pelaksanaannya ada sedikit masalah, lebih beri arahan terperinci dan ia menyusahkan guru. 

    "Sistem baru itu baik, cuma pelaksanaan perlu diperbaiki, saya akui kelemahannya," katanya pada program Bicara Minda yang bertajuk 'Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Satu Perspektif', di sini, hari ini. 

    Tambah beliau, pengenalan PBS itu bagi memastikan sekolah tempatan tidak lagi berorientasikan kepada peperiksaan dan mata pelajaran, sebaliknya ia berasaskan kepada penilaian pelajar itu sendiri. 

    Katanya, ia bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan negara. 

    “Guru akan menilai cara pelajar belajar, berinteraksi dan sebagainya, kemudian direkod penilaian itu secara menyeluruh, bukan peperiksanan semata-mata sahaja. 

    “Keadaan bertambah baik, kita akan pastikan guru tidak terbeban dengan PBS supaya kita boleh mencapai matlamat ke arah sekolah satu pertiga terbaik di dunia,” katanya sambil menyifatkan kerjaya sebagai guru itu merupakan profesional mulia dan murni kerana berupaya mendidik masyarakat ke arah lebih baik.


    Kegagalan Dan Kejayaan



    Pagi ini saya baca satu artikel di blog Darren Hardy. Artikel yang bertajuk "I Love The F-Word". Artikel yang sangat bagus dan dapat memberikan semangat pada orang yang pernah gagal.

    Untuk artikel lebih lanjut, boleh baca di  sini.

    Dalam artikel itu ada di tulis "The Key To Success Is Massive FAILURE". Kunci kejayaan adalah kegagalan yang besar.

    Semakin banyak kita membuat kegagalan semakin cepat kita akan mencipta kejayaan. Semakin besar kegagalan maka semakin besar kejayaan yang akan di cipta. 

    Jadi, jangan takut gagal. Daripada kegagalan kita belajar untuk berjaya.

    Tidak di nafikan, kalau gagal kita akan merasa sedih. Tapi kita tidak boleh sedih terlalu lama. Pujuk hati untuk kembali bangkit dan terus berusaha.

    Bagaimana mungkin kita akan berjaya kalau kita tidak gagal terlebih dahulu. Kegagalan adalah awal dari kejayaan.

    Tiada kejayaan tanpa kegagalan.



    Ketepikan Keperluan Bergaya

    sumber : harian metro online

    TATKALA mengemas barang yang akan dibawa ketika bercuti ada kalanya kita kebingungan dan tertekan.
    Masalahnya, kita meng­anggap semua barang penting dan harus dibawa bersama walaupun hakikatnya ada sesetengahnya tidak perlu. 
    Prinsip utama mengemas isi beg untuk bercuti ialah membawa barangan yang amat diperlukan. Keperluan untuk bergaya boleh me­nyusul kemudian. 

    Pertama
    Keperluan utama selama perjalanan bercuti ialah dokumen dan pakaian. Dokumen paling penting dibawa dan tidak boleh tertinggal adalah pasport, visa dan tiket.
    Justeru, simpan dokumen ini di tempat yang selamat. Selamat yang dimaksudkan bukan saja selamat supaya tidak hilang atau ketinggalan di sesuatu tempat tetapi dari kerosakan seperti air, tertumpah bahan berwarna seperti makan dan minuman.

    Ketiga-tiga dokumen penting ini perlu disimpan dalam dompet atau beg kecil khas. Ja­ngan malas membuat salinan dokumen ini untuk kegunaan ketika kejadian yang tidak diingini berlaku. 

    Dokumen tambahan lain termasuklah kad pengenalan, kad kredit, kad ATM dan kad nama. 

    Kedua
    Perkara kedua yang paling banyak memenuhi isi beg ialah pakaian. Tip utama memilih pakaian untuk bercuti adalah membawa pakaian yang baik, mudah dilipat dan mudah kering. 

    Paling sesuai adalah bahan dari kapas. Untuk seluar atau skirt, elak bahan jeans. Pilih dari bahan kapas atau yang mudah dilentur. Selain ringan, bahan kapas ini mudah dimasuk ke beg kerana ia senang di gulung. 

    Kebiasaan­nya, ramai di kalangan kita yang membawa baju terlalu banyak sehingga ada antaranya tidak digunakan. 

    Sebenarnya, jumlah pakaian yang akan dibawa boleh dikurangkan dengan mempertimbangkan untuk mencuci baju ketika di dalam perjalanan. 

    Namun, bagi menjimatkan bajet, cuci baju di dobi yang mengenakan bayaran berdasarkan berat pakaian. Elak mencuci baju di hotel. Mencuci pakaian di dobi yang mengenakan harga berat pakaian tidak terlalu mahal berbanding di hotel. 

    Ketiga 
    Keperluan selanjutnya yang wajib dibawa ketika melancong adalah alatan mandi. Bawa seperlunya dengan memindahkan peralatan mandi ke tempat yang lebih kecil seperti shampu, sabun cair dan losyen atau untuk lebih mudah, beli saja di destinasi yang anda tuju. 

    Keempat
    Dengan me­ngemas segala keperluan utama secara cermat, anda masih mempunyai ruang pada beg untuk keperluan tambahan lain. 

    Keperluan tambahan adalah yang berkait de­ngan hobi untuk menjadikan percutian anda lebih me­nyeronokkan. 

    Seperti contoh, kamera bagi anda yang suka fotografi. Bila ingin ke pantai, bawalah baju berenang yang bersesuaian dan kelengkapan lainnya. 

    Kelima
    Perkara penting yang harus anda ambil berat saat mengemas pakaian atau barangan yang mahu dibawa bersama ketika bercuti adalah menghindari gajet atau barang elektronik yang berlebihan. 

    Secara tidak langsung, anda boleh bercuti dengan aman dan keluar daripada rutin harian termasuk rutin gajet.

    Hidup Kita Adalah PIlihan Kita

    Sedar atau tidak setiap hari kita harus membuat bermacam-macam pilihan. Dari mulai bangun tidur hingga sampai waktu nak tidur lagi.

    Sebagai manusia kita memang harus membuat pilihan. Kadang-kadang pilihan itulah yang akan menentukan hala tuju hidup kita.

    Kita memang harus memilih. Memilih sama ada ingin terus bekerja ataupun memilih untuk berhenti kerja dan menjaga anak di rumah.Memilih untuk menjadi usahawan atau terus bekerja makan gaji. 

    Kita diciptakan Allah dengan di kurniakan akal dan fikiran. Dengan berfikir dan memohon petunjuk Allah, Insya Allah kita akan dapat membuat pilihan yang tepat.



    Kita bukan batu atau pokok. Yang bila di apa-apakan hanya diam dan tidak berani membantah. Kita adalah manusia yang mempunyai perasaan.

    Jika ada orang yang menyakitkan hati kita, kita boleh memilih untuk terus merasa sakit hati atau membiarkan saja perasaan sakit hati itu pergi seperti angin lalu.

    Bukan mudah sebenarnya nak membuang rasa sakit hati. Tapi ikhlaskan saja semuanya kepada Allah. Mungkin kita juga pernah menyakitkan hati orang lain tanpa kita sedari.

    Hidup kita pilihan kita. Jadi, nak pilih hidup bahagia dan gembira atau nak hidup sedih dan kecewa?



    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...